FAQ: Curriculum Review

Apakah dasar yang perlu dipatuhi berkaitan dengan perubahan kurikulum?

Dasar berkenaan dengan perubahan kurikulum adalah seperti berikut:

  1. Perubahan kurikulum mesti dibuat melalui proses yang teratur dan diluluskan oleh pihak berautoriti Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) seperti Senat Universiti atau Lembaga Akademik Kolej.

  2. Setiap perubahan yang dibuat perlu mencerminkan penamaan program dan PPT perlu menyatakan justifikasi berkaitan perubahan kurikulum.

  3. Setiap perubahan kurikulum hendaklah mengambil kira keperluan yang terdapat dalam standard program sekiranya berkaitan.

  4. Peratusan perubahan kurikulum yang diambil kira adalah berdasarkan kurikulum asal seperti yang diluluskan.

  5. Perubahan yang melebihi 30% daripada keseluruhan kurikulum perlu mendapatkan kelulusan dari MQA. MQA akan membuat penilaian dari segi kesesuaiannya kerana kebiasaannya perubahan ini akan melibatkan hasil pembelajaran, matlamat program dan penamaan program. Setelah kelulusan MQA diperolehi, pihak PPT perlu memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), KPM.

  6. Bagi permohonan perubahan kurikulum yang perlu dihantar ke MQA, PPT hendaklah mengemukakan dokumen seperti berikut:

  • Justifikasi perubahan kurikulum;

  • Maklumat skema pengajian kurikulum program yang telah diluluskan;

  • Peratusan perubahan kurikulum dan jadual pemetaan kurikulum asal dan yang dipinda; dan

  • Maklumat terperinci silibus untuk semua kursus yang terlibat dengan perubahan.

Catatan:

  1. Perubahan kurikulum boleh berlaku tidak terhad kepada perubahan hasil pembelajaran, objektif program dan penamaan program sahaja. Perubahan juga boleh berlaku apabila pihak PPT membuat perubahan atau menambah kursus yang ditawarkan, perubahan nilai kredit, perubahan agihan atau jenis penilaian dan sebagainya. PPT perlu mempunyai polisi sendiri yang jelas berkaitan perubahan kurikulum ini. MQA tidak menentukan secara spesifik tentang kaedah pengiraan peratusan perubahan kurikulum.

  2. Penawaran komponen U1 bagi Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) tidak diambil kira memandangkan ia berlaku disebabkan oleh perubahan dasar semasa KPM.

  3. PPT yang berstatus swaakreditasi tidak perlu mengemukakan permohonan perubahan kurikulum kepada MQA kerana status tersebut membolehkan mereka melaksanakan perubahan kurikulum sendiri berdasarkan prosedur tertentu bagi program pengajian bukan profesional.

Sumber: 

  • Surat Makluman MQA Bil. 4/2018 bertarikh 8 Mac 2018-Perubahan Maklumat Program

  • Surat Makluman MQA Bil. 5/2013 bertarikh 29 Julai 2013-Dasar Perubahan Kurikulum